Rabu, 8 Mei 2013

Pemimpin pedalaman harap penyusunan Kabinet beri peluang kaum Murut

Pemimpin pedalaman harap penyusunan Kabinet beri peluang kaum Murut

8th May, 2013KENINGAU: Para pemimpin masyarakat Murut di kawasan pedalaman mengharapkan penyusunan Kabinet Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) akan memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat dari kaum itu sekurang-kurangnya seorang Menteri Penuh.
Ketua Daerah Nabawan OKK Sayau Tangkap berkata, suku kaum Murut perlu ada wakil dalam Kabinet Negeri bagi menghargai perjuangan kaum itu dalam memberi sokongan kepada calon-calon BN sehingga mencapai kemenangan.
Katanya, dalam dua penggal yang lepas kaum ini tidak mempunyai wakil dalam Kabinet Negeri mahupun Kabinet Persekutuan.
“Tetapi saya sebagai salah seorang pemimpin kaum Murut ingin memfokus kepada Kabinet Negeri terlebih dahulu kerana ini adalah keperluan bagi kaum ini dalam barisan Kabinet yang akan dibentuk dalam sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Katanya, walaupun beliau tidak menyebut atau menamakan siapa yang mewakili suku kaum ini tetapi terserahlah kepada pucuk pimpinan untuk menilai berdasarkan kepada pengalaman mereka.
‘Saya cuma mencadangkan dan terserahlah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan yang penting ada wakil dari kaum ini dalam Kabinet Negeri Sabah,” jelasnya. Sementara itu Ketua Daerah TenomOKK David Jani berkata, kaum Murut perlu ada wakil dalam barisan Kabinet Negeri Sabah.
Ini katanya, kerana kaum ini masih ketinggalan dan masih memerlukan pembangunan terutama dalam program peningkatan ekonomi.
“Dengan adanya sekurang-kurangnya seorang Menteri Penuh akan dapat mewakili kaum ini dalam membentuk dasar dan merancang pembangunan khususnya di luar bandar yang masih ketinggalan,” katanya.
Selain itu katanya, pucuk pimpinan BN perlu melihat ini sebagai satu perkara yang amat penting kerana suasana politik semakin berubah.
Katanya, wakil kaum Murut dalam barisan Kabinet adalah perkara yang perlu diambil perhatian bagi mengimbangi rungutan kaum ini dalam tempoh dua penggal yang lepas.
Tambahnya, sebelum ini wakil-wakil rakyat dari kaum ini hanya memegang jawatan Pembantu Menteri.

http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/68349

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...