Ahad, 21 April 2013

PRU13: Peluang menang cerah kerana kami anak tempatan - Calon BN Kepala Batas

PRU13: Peluang menang cerah kerana kami anak tempatan - Calon BN Kepala Batas
BEKAS Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kanan) mengiringi calon Barisan Nasional (BN) dari kanan; Datuk Roslan Saidin (DUN Pinang Tunggal), Shariful Azhar Othaman (DUN Bertam), Mohd Zain Ahmad (DUN Penaga) dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Parlimen Kepala Batas) menuju ke pusat penamaan calon di Kepala Batas, semalam. - Foto Nur Izzati Mohamad

KEPALA BATAS: Peluang calon Barisan Nasional (BN), terutama tiga muka baru yang bertanding di kawasan Kepala Batas untuk pertahankan empat kerusi BN di situ adalah cerah kerana semuanya anak tempatan.

Calon bagi kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata mereka bukan saja sudah lama berdamping dengan masyarakat setempat tetapi juga mengetahui kehendak penduduk. 
"Empat calon daripada parti pembangkang bukan orang tempatan dan mereka datang bertanding di sini hanya dengan matlamat mahu ke Putrajaya, bukan untuk membantu penduduk di sini. 


"Situasi itu berbeza dengan calon-calon BN... bukan hari ini saja kami baru turun padang sebaliknya memang mendampingi penduduk di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinang Tunggal, di sini hari ini.

Reezal Merican adalah muka baru menggantikan penyandang Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Perdana Menteri. Dua lagi muka baru ialah calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Shariful Azhar Othman dan DUN Penaga, Mohd Zain Ahmad. DUN Pinang Tunggal dipertahankan Datuk Roslan Saidin.

PAS meletakkan Afnan Hamimi Taib Azamuddin dan Rosidi Hussain masing-masing bagi kerusi Parlimen Kepala Batas dan DUN Penaga, manakala PKR mempertaruhkan Syed Mikael Rizal Aidid bagi DUN Bertam dan Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Pinang Tunggal.

Reezal Merican berkata, kesemua calon BN juga menetap di kawasan berkenaan. 
"Wakil pembangkang tidak tinggal di sini dan ia berbeza dengan cara kita seperti yang telah diterapkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk sentiasa mendampingi rakyat bagi membantu mereka dan bukan hanya mengejar jawatan semata-mata," katanya.
-- BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRU13_Peluangmenangcerahkeranakamianaktempatan-CalonBNKepalaBatas/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...