Selasa, 9 April 2013

BN dijangka umum calon hari ini

Kuala Lumpur: Spekulasi bertiup kencang semalam bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hari ini, iaitu hari yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuaratnya untuk menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi. 

BERNAMA melaporkan pengumuman yang amat ditunggu-tunggu itu, jika benar berlaku dibuat genap seminggu selepas pembubaran Dewan Rakyat dan ketika melancarkan manifesto BN Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan meneruskan usahanya melaksanakan transformasi terhadap negara dan kehidupan semua rakyat. 
Sementara itu, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat kepada hampir 2,000 kepemimpinan BN peringkat bahagian, negeri dan Pusat berkaitan PRU-13, hari ini. 


Najib dijangka mengetengahkan pelbagai isu yang wajar diberi perhatian, termasuk berkaitan manifesto parti dan langkah pengukuhan jentera pilihan raya. 

Inti pati amanat Pengerusi BN itu turut memberi tumpuan berkaitan calon serta penyandang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang dijemput hadir pada majlis itu, terutama isu sabotaj parti jika tidak dicalonkan semula. 

Sumber Ibu Pejabat BN memaklumkan, Najib yang juga Presiden UMNO akan menumpukan kepada aspek keutuhan parti yang memerlukan kerjasama berpasukan untuk mencapai kemenangan dua pertiga. 

Nasihat kepada wakil rakyat yang tidak dipilih semula juga diketengahkan bagi memastikan mereka kekal menyokong calon parti, sekali gus mengutamakan parti bukan kepentingan peribadi, katanya kepada BH semalam. 
Majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan bermula dengan sesi penerangan mengenai manifesto BN pada jam 10 pagi di mana semua kepemimpinan parti diberi taklimat oleh Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan. 

Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun pula akan menjelaskan mengenai peraturan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRU kali ini supaya dapat difahami kepemimpinan parti dan seterusnya disampaikan kepada jentera PRU, ahli akar umbi dan pengundi

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BNdijangkaumumcalonhariini/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...