Sabtu, 13 April 2013

Tiga sebab saya tinggalkan Anwar

'Tiga sebab saya  tinggalkan Anwar'

Selepas hampir 30 tahun berkawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya Prof Datuk Dr Sidek Baba, yang pernah dilantik sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) oleh Anwar, akhirnya membuka mulut mengenai bekas ‘bosnya’ itu. Beliau mengambil masa tiga tahun dengan mengadakan penelitian, kajian, pertemuan dengan rakan sebelum memutuskan untuk ‘menolak’ Anwar. Dr Sidek atau lebih mesra dipanggil Cikgu Sidek dalam pertemuannya dengan wartawan BH, Azhar Abu Samah di ibu negara kelmarin, antara lain menyentuh tiga faktor kenapa pendiriannya ke atas Anwar berubah, selain difitnah atas perubahan pendiriannya itu.


Wartawan: Mengapa Dr Sidek mengambil keputusan akhirnya untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad? Dr Sidek: Saya memang sudah lama bercadang menemui Tun Dr Mahathir. Alhamdulillah, melalui Tan Sri Aziz Shamsuddin kenalan lama saya, akhirnya saya dapat bertemu. Pertemuan hampir sejam itu bermaksud ingin tahu lebih lanjut pandangan dan pengalaman Dr Mahathir terhadap Anwar. 



Sebagai orang akademik saya tidak akan mudah percaya dan menerima sesuatu melainkan saya lakukan kajian, mendekati seseorang, bertanya, dapatkan maklumat kemudian cuba ambil kesimpulan dan pendirian. Itu adalah cara Islam. Ketika dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya ditunjukkan dengan bukti siapa sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak segera saya akur dengan bukti itu tetapi saya mula bertanya kepada diri saya dan terus bertanya. 

Saya tidak percaya dengan sikap taksub, pemikiran tertutup dan tidak bersedia untuk mendengar, melakukan fitnah bagi mengambil sesuatu sikap dan pendirian kerana ia anti-Islam. Manusia memiliki sifat nisyan atau lupa atau ghaflah atau lalai bermakna memiliki kekurangan bukannya maksum. Oleh itu usaha mencari kebenaran untuk membuat pendirian adalah dituntut.

S: Apa yang diceritakan Dr Mahathir?
J:
 Dr Mahathir menceritakan kepada saya mengapa dia menerima Anwar masuk UMNO. Dia mengharapkan seorang yang berjiwa agama dapat memimpin Malaysia pada masa depan. Anwar mula naik melalui Pemuda UMNO. Banyak fitnah yang beliau terima pada waktu itu. Kali pertama Anwar mahukan menteri penuh. Dr Mahathir kata sabar. Kemudian mendaki ke Naib Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan akhirnya ada cita-cita mencabar Presiden.

Tun juga menceritakan, beliau menerima maklumat mengenai perihal Anwar sejak 1993 lagi. Dr Mahathir tidak mudah menerima cerita-cerita itu. Sehingga 1997, Dr Mahathir mula memberi respon. Setelah cukup bukti, barulah Dr Mahathir mengambil pendirian dan tindakan. Bermakna Dr Mahathir amat teliti dan berhati-hati.

S: Bagaimana Dr mengenali Anwar?

J: 
Saya mengenali Anwar melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sewaktu Anwar dalam kerajaan, saya turut membantunya dalam hal pendidikan. Apabila saya dilantik oleh beliau sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak selalu berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beliau. Hal kehidupan peribadinya saya tidak tahu. 

Sebagai pemimpin yang saya hormati suatu ketika dulu, tidak mudah untuk saya undur meninggalkan beliau. Apabila berlaku kes sodomi kedua, saya bertanya lagi dan mula melakukan kajian dan mendekati dalam kalangan bekas petugas dan kawan-kawan rapat yang meninggalkannya. Kalau ada orang mengatakan bahawa semua tuduhan terhadap Anwar itu fitnah atau konspirasi, saya bukan orang yang mudah menerima. Saudara Ezam Mohd Nor memberitahu saya ketika dalam penjara dengan Sukma Darmawan, Sukma memberitahu banyak perkara mengenai Anwar.

Oleh itu, pertemuan saya dengan Dr Mahathir amat penting kerana banyak perkara yang saya diberitahu dan untuk lebih tahu mengenai kebenaran terhadap sesuatu perkara. Sekarang lebih ramai orang mendatangi saya untuk memberitahu hal yang berkaitan dengan Anwar – mengenai peribadi dan lain-lain. Saya terima dengan hati terbuka tetapi tidak semua saya guna dan ini mendorong saya mengkaji lagi.

S: Atas asas apa Dr Sidek menolak Anwar selepas berkawan selama 30 tahun?

J: 
Saya mengambil masa hampir tiga tahun untuk membuat penelitian mengenai isu Anwar ini. Pertama, isu pluralisme agama. Ucapan Anwar di London School of Economics menimbulkan persoalan. Anwar cuba memperjelaskan di rumah Prof Osman Bakar bahawa memang ada kelemahan terhadap ucapannya dan berjanji untuk memperbaikinya. 

Sehingga kini, mengikut penjelasan (Haji) Ismail Mina kelemahan itu tidak diperbaiki. Ismail adalah kawan karib Anwar sejak di Universiti Malaya lagi dan sama-sama membangun Yayasan Anda Akademik dan ABIM. Saya tidak terhenti setakat itu melainkan bertanya kepada Allahyarham Dr Muhammad Uthman el-Muhammady mengenai pluralisme agama yang dibawa oleh Anwar. Allahyarham tidak bersetuju dengan pendirian Anwar kerana pendirian Anwar itu selari dengan pemikiran John Hicks, tokoh pluralisme agama Barat dan Allahyarham telah menulis sebuah buku mengenainya.

Kedua, saya mempunyai maklumat daripada Rahimi Osman yang pernah menjadi pegawai Anwar selama tiga tahun mengenai rapatnya Anwar dengan pelobi Yahudi. Saya panjangkan kajian saya dengan Dr Chandra Muzaffar (Presiden JUST) dan seorang tokoh yang arif dengan isu hubungan luar. Beliau memberitahu saya bahawa Anwar pernah dilantik sebagai Pengarah Foundation for the Futures untuk penggal 2006-2008 dan ada kaitan agensi pelobi ini.

Ketiga, isu integriti Anwar mengenai hal peribadinya. Pada awalnya, saya ditunjukkan gambar Anwar menari dan perbualan telefonnya dengan seorang wanita. Saya agak terkejut dengannya. Kemudian timbul isu lain yang banyak dan tidak perlu saya sebutkan di sini dan ini menyebabkan saya terus mencari maklumat.

S: Tiga perkara itu nampaknya memberi kesan kepada Dr?

J:
 Saya bertanya seorang mufti yang pernah menjadi Penasihat Agama Anwar mengenai diri Anwar. Saya amat terkejut dengan jawapan beliau yang sangat negatif. Ia memberi kesan besar kepada diri saya kerana beliau juga pernah memimpin ABIM dan diketahui sebagai ahli fiqh dan usul fiqh yang dihormati di Malaysia. 

Tiga perkara yang disebutkan di atas sangat memberi kesan kepada saya di samping banyak lagi maklumat yang lebih terperinci yang tidak perlu saya muatkan di sini. Saya tidak menuduh Anwar meliwat atau zina. Itu adalah urusan beliau dengan Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang berlaku. Tiga perkara di atas sudah cukup untuk saya mengambil pendirian kerana seorang tokoh yang ingin memimpin Malaysia mesti memiliki integriti atau kewibawaan yang tinggi, bukannya tercalar begitu rupa.

S: Masih ramai pemimpin ABIM yang tidak percaya apa yang Dr percaya. Apakah perjuangan ABIM sekarang berada di landasan asal?

J: 
Saya ada asas untuk mengambil sikap dan pendirian kerana saya lakukan kajian dan penyelidikan. Kita harus mampu melepasi diri daripada faktor kawan semata-mata tetapi harus peka dengan isu kebenaran. Kini semakin ramai orang ABIM ikut jejak yang saya lakukan, terutama kepemimpinan mudanya. Saya percaya kalau pimpinan ABIM bersedia untuk mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak, ia asas yang baik untuk mengambil sikap dan pendirian yang adil. 

Perjuangan ABIM dulunya ialah menegakkan kebenaran dan keadilan. Sikap partisan yang diambil oleh ABIM terhadap politik dan Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang tidak lazim bagi sebuah badan dakwah. Apabila partisan sudah terjadi, ini menyebabkan ABIM dan WADAH mudah memihak. Pendekatan ABIM yang dulunya adalah untuk dakwah dan tarbiah kini sudah bertukar menjadi sebahagian daripada badan politik.

S: Mengapa Dr terlalu lewat membuat pendirian terhadap Anwar?

J:
 Kita tidak boleh gopoh untuk membuat sesuatu kesimpulan dan pendirian. Saya tidak mudah menelan cakap-cakap tanpa asas hujah dan bukti. Seorang mufti yang suatu ketika menjadi Penasihat Agama Anwar memberitahu saya hal yang negatif dan ia mengejutkan saya. Saya tidak fikir seorang bekas pimpinan ABIM ini berdusta dengan saya.

Soal lewatnya saya mengambil pendirian ialah kerana saya ingin terus mendapatkan lebih banyak maklumat supaya dengan maklumat itu mudah saya mengambil pendirian. Maklumat itu saya saring, teliti, analisis dan kemudian baru saya mengambil pendirian. Pertemuan saya dengan Dr Mahathir kelmarin itu ialah ingin mendengar daripada Dr Mahathir mengenai hubungannya dengan Anwar sejak 1982.

S: Ada orang mengatakan Dr meninggalkan Anwar kerana tidak mendapat sesuatu daripadanya dan ditawarkan sesuatu oleh kerajaan?

J:
 Saya tidak dapat sesuatu seperti yang difitnah. Setelah saya bersara daripada UIAM pada 2012, saya terus menjadi pensyarah kontrak sehingga kini. Saya juga menjadi pendakwah untuk mengembangkan Islam dalam kalangan masyarakat. 

Pendirian ini saya ambil selepas membuat kajian dan pertemuan dalam tempoh yang agak panjang. Saya dilatih untuk sukakan kebenaran dan keadilan dalam ABIM. Sikap yang saya ambil adalah natijah tarbiah ABIM. Bukan dilatih untuk bersikap tertutup, menyalahkan orang lain, menabur fitnah dan seumpamanya.

S: Apa pandangan Dr mengenai kemelut politik umat Melayu dan kesan jangka panjang umat Melayu dalam negara ini?

J:
 Salah satu faktor yang menyebabkan umat Melayu berpecah ialah sikap taksub dan fitnah. Umat Islam harus bijak membaca senario dan tidak mudah terheret dalam usaha memutuskan silaturahim apa lagi menyuburkan tuduhan tanpa asas yang kukuh. 

Kepentingan wahdah atau kesatuan umat adalah sesuatu yang amat utama. Kepemimpinan yang ada adalah suatu taklif atau amanah. Justeru, sekiranya kita tidak menyumbang kepada amanah ini, kita akan ditanya di depan Allah nanti tanggungjawab kita di dunia. Allah Maha Tahu apa yang ada di hati kita dan apa yang kita lakukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...