Kuala Lumpur: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jelas tidak menghormati prinsip demokrasi dan suara rakyat. 

Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim yang juga bekas rakan karib Anwar menyifatkan pemimpin PKR itu sebagai ‘gila talak’ sehingga sanggup menggadai keharmonian negara bagi mencapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri. 
Mahu guling kerajaan 


“Kita tidak terkejut dan ini sememangnya sudah dijangka kerana sebelum ini beliau pernah berkata, jika gagal mengambil Putrajaya melalui pilihan raya, mereka akan menggulingkan kerajaan melalui jalan raya. 

“Ini adalah satu tindakan yang cuba memperbodohkan rakyat yang membuat keputusan. Jika mahu menolak keputusan pilihan raya, pembangkang perlu menolak semuanya. Jangan terima keputusan pilihan raya di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. 

“Saya seru Anwar supaya menerima ketentuan Allah. Jika tidak menjadi Perdana Menteri dunia belum kiamat, masih ada peluang lima tahun lagi,” katanya. 

Keputusan PRU-13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen, manakala DAP meraih 38 kerusi, 28 PKR dan 21 PAS. 
Anwar yang sebelum pilihan raya umum berjanji untuk berundur daripada politik jika gagal merampas Putrajaya, turut enggan berbuat demikian. 

Capai matlamat peribadi 

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr Mohammad Fairus Khairuddin, berkata tindakan Anwar terus mempertikaikan keputusan PRU-13 membuktikan beliau tidak mengutamakan kepentingan rakyat, sebaliknya hanya mahu mencapai matlamat peribadinya. 

“BN tidak pula ‘meroyan’ walaupun mereka kalah di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Anwar jelas tidak menghormati proses demokrasi negara dan keputusan rakyat. 

“Anwar berada dalam keadaan cukup terdesak. Bagi saya ini adalah satu malapetaka politik yang mana pemimpin tidak rasional dan tidak layak menjadi Perdana Menteri cuba mencapai impian itu,” katanya.