Khamis, 28 Mac 2013

1,010 suri rumah saman MB Selangor

1,010 suri rumah saman MB Selangor Suri rumah yang hadir untuk memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Shah Alam: Kecewa kerana kegagalan pembangkang melaksanakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), seramai 1,010 suri rumah di Selangor memfailkan saman RM5.85 juta terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam. 

Saman itu membabitkan elaun suri rumah seperti dijanjikan dalam kempen pilihan raya umum pakatan pembangkang pada 2008. 
Writ saman berkenaan difailkan Tetuan Kamarudian & Partners di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, antara Norela Abu Bakar, 42, dan 1,009 yang lain terhadap kerajaan Selangor dan Abdul Khalid. 


Ia antara lain menyatakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum pada Mac 2008, defendan pertama iaitu kerajaan Selangor–gabungan parti politik DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), berjanji kepada rakyat negeri itu termasuk plaintif untuk memberikan elaun suri rumah jika mereka memenangi pilihan raya itu. 

Layak terima elaun 

Kumpulan pertama suri rumah itu menyatakan, berdasarkan kepada manifesto itu, defendan pertama menegaskan setiap suri rumah di Selangor yang memilih untuk tidak bekerja dan menjaga anak masing-masing di rumah, layak menerima elaun itu. 

Mereka turut menyatakan, plaintif berkenaan adalah suri rumah yang memilih untuk tidak bekerja dan menjaga anak di rumah. 
Writ saman itu juga menyatakan, manifesto defendan pertama menjadi asas kepada kerajaan yang ditadbir oleh defendan pertama dan defendan kedua memenangi pilihan raya 2008. 

Laksana beberapa janji 

Mereka juga menyatakan defendan pertama sudah pun melaksanakan beberapa janji iaitu mewujudkan skim air percuma pada 1 Jun 2008 iaitu pemberian air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan; memberi hadiah RM1,000 kepada beberapa anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti dan memberi sumbangan RM1,000 kepada golongan warga emas di Selangor. 

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini, defendan pertama gagal untuk membayar elaun kepada suri rumah seperti yang dijanjikan dalam manifesto itu. 

Abdul Khalid pula dikatakan menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran elaun kepada plaintif.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/1_010surirumahsamanMBSelangor/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...