Khamis, 28 Mac 2013

PM temui Pengerusi BN negeri hari ini

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan pertemuan dengan semua Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri di pejabat beliau di sini, pada jam 11.15 pagi hari ini. 

Semalam, beliau turut mengadakan pertemuan dengan tiga Menteri Besar, dua Ketua Menteri serta dua pemimpin BN Selangor, dipercayai bagi memuktamadkan senarai calon BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Perjumpaan turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermula jam 9.40 pagi dan berakhir jam 4.50 petang. 


Difahamkan, pertemuan itu bagi mengemas kini dan membuat persiapan terakhir jentera BN menghadapi PRU-13. 

Ghani mendahului 

Perjumpaan didahului Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman kira-kira sejam mulai jam 9.30 pagi, diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, selama setengah jam mulai jam 10.50 pagi. 

Ini disusuli wakil BN Selangor, iaitu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar serta Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memasuki pejabat Perdana Menteri pada jam 11.30 pagi dan keluar jam 12.50 tengah hari. 
Pada sebelah petang, Perdana Menteri menemui tiga lagi Menteri Besar dimulai dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said antara jam 2.30 hingga 3.20 petang diikuti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selama 45 minit mulai jam 3.30 petang. 

Perjumpaan terakhir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mulai jam 4.20 hingga 4.50 petang. 

Lagi pertemuan 

Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti komponen BN dan Menteri Besar serta Ketua Menteri lain mewakili BN hari ini mulai jam 7.30 pagi hingga jam 9 malam. 

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di pekarangan Pejabat Perdana Menteri seawal jam 9 pagi semalam gagal menemui pemimpin terbabit. 

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mandat kerajaan sekarang tamat pada 29 April 2013 dan Parlimen akan terbubar secara automatik jika Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan nasihat Perdana Menteri, tidak membubarkannya sebelum tarikh itu bagi membuka laluan PRU-13. 

Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi tempoh 60 hari, iaitu sebelum 27 Jun 2013 untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru. 

Garis panduan sama diguna pakai untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali di Sarawak yang sudah mengadakan pilihan raya DUN pada 16 April 2011 dan DUN Negeri Sembilan yang terbubar secara automatik semalam. 

Sumber BN memberitahu, perjumpaan itu bukan saja bagi memilih calon, sebaliknya turut membabitkan rundingan pertukaran kerusi di kalangan parti komponen. 



http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/PMtemuiPengerusiBNnegerihariini/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...