Khamis, 28 Mac 2013

PM kesal!! dengan tindakan Pembangkang!!!!!

KESAL! Ia mungkin perkataan yang boleh digambarkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan segelintir pihak yang sanggup membangkitkan isu sensitif demi meraih keuntungan politik.

Menurut Najib, perbuatan itu jelas sekali tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Saya lihat ada sikap degil, sikap yang tegar, sikap yang mahu meraih keuntungan politik jangka pendek dan membangkitkan isu-isu oleh beberapa orang politik semata-mata nak meraih keuntungan menjelang pilihan raya.

"Inilah sikap yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh mereka semata-mata nak memancing undi sahaja," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 2 Februari lalu.

Sementara itu, pengguguran bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura Pas tidak melemahkan semangat beliau untuk terus mendaulatkan syiar Islam di bumi bertuah ini.

Menurut Nasharudin, beliau tidak akan meninggalkan parti itu yang disertainya sekian lama iaitu sejak bergelar penuntut.

Namun Nasharudin turut tertanya-tanya berhubung status keanggotaannya dalam parti itu kerana tidak mendapat sebarang surat rasmi.

Mengulas mengenai pendirian Nasharudin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Nasharudin memang masih ahli Pas dan parti itu mempunyai cara penilaiannya sendiri ke atas Nasharudin yang memutuskan tidak ada sebab untuk mereka memecat Nasharudin sebagai ahli Pas.

"Orang bercerai pun, bercerai talak satu, talak dua, talak tiga.

"Itu terpulang kepada penilaian kita. Tak berhak kita dedahkan kepada orang penilaian kita sendiri. Bahkan dalam sejarah Pas bukan kali pertama kita pecat," katanya.

Minggu lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah menunjukkan jalan keluar kepada Nasharudin dengan menggambarkan Ahli Parlimen Bachok itu seumpama seorang wanita yang sudah diceraikan.

Sementara itu kunjungan Nik Aziz ke rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh minggu lalu mengundang satu lagi kontroversi membabitkan isu kalimah ALLAH yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, bulan lalu.

Hadi dalam satu kenyataan menyebut isu kalimah ALLAH sudah selesai menerusi pertemuan antara dua pemimpin itu.

Pas katanya berpegang kepada pendirian Majlis Syura Pas.

Karpal kemudian menyatakan rasa kesalnya kerana menurut beliau, dalam pertemuan dengan Nik Aziz itu, hal tersebut langsung tidak dibincangkan.

Hadi yang diminta mengulas isu itu pada 3 Februari lalu bagaimanapun meminta media merujuk kepada kenyataannya yang dikeluarkan dalam lidah rasmi Pas.

Hadi sebelum itu ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Perdana Ummah bersama Pas mendakwa isu kalimah ALLAH yang menjadi pertikaian adalah kerana mainan Umno.

"Ini kerja Umno. Mengaku Islam... bawa isu kalimah ALLAH musim pilihan raya. Nak pancing undi guna kalimah ALLAH,"  kata Hadi.

Dalam ucapan itu Hadi turut menegaskan, Pas yakin dengan kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat dan tidak sama sekali akan berpatah balik dan menjalin semula hubungannya dengan Umno.

Sementara itu, di Selangor, kerajaan PKR yang ditadbir oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas sambutan Cap Goh Meh.

Namun katanya ianya tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 1 Februari lalu berkata, pihaknya masih membincangkan tentang cadangan itu.

Sementara itu, antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang minggu ini tentunya Karnival Karangkraf edisi kelima yang melabuhkan tirainya pada 3 Februari.

Kira-kira 350,000 pengunjung membanjiri pekarangan Kumpulan Media Karangkraf bagi turut serta dalam karnival yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Hussamuddin Yaacub, konsep karnival seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.   

Sementara itu, tepat jam 10.30 pagi 2 Februari lalu, pelakon, Liyana Jasmay, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Fathuddin Mazlan, 28.

Upacara pernikahan yang berlangsung di ruang ballroom Hotel Seri Pacific dikendalikan sendiri oleh bapa Liyana, Jasmay Md. Shah dan disaksikan kaum keluarga terdekat pasangan pengantin dan kenalan.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/kisah-nasha-meriahkan-politik-malaysia-1.128195

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...