Khamis, 28 Mac 2013

Surat bubar DUN diserah

Seremban: Surat pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-12 secara automatik dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam. 

Surat itu ditandatangani Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor di pejabatnya di sini, jam 9 pagi, dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Ketua Penolong Setiausaha Unit DUN, Mohamed Roduan Ujang. 

Genap lima tahun 


Surat itu kemudian diserahkan Roduan kepada Pengarah SPR negeri, Afizam Abdullah Sani di pejabat SPR di Wisma Persekutuan di sini. 

Razak berkata, surat itu memaklumkan kepada SPR bahawa DUN Negeri Sembilan genap lima tahun selepas 12 tengah malam kelmarin. 

Katanya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN. 

“Selepas baginda tidak memutuskan pembubaran hingga tengah malam tadi (kelmarin), DUN terbubar secara automatik. Kemudian, barulah kita buat surat kepada SPR dan dihantar pagi ini (semalam),” katanya dalam sidang media di sini, semalam. 
Razak juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa pembubaran DUN tidak mendapat perkenan Tuanku Muhriz serta menjelaskan kerajaan negeri terlebih dulu sudah memaklumkan kepada baginda. 

“Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menghadap baginda sebelum mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) setiap Rabu, termasuk kelmarin,” katanya. 

Tempoh 60 hari 

Berikutan pembubaran itu, SPR akan menentukan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula semalam. 

Bagaimanapun, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, tambahan 30 hari boleh diberikan jika SPR tidak mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari. 

Di Putrajaya, SPR mengesahkan menerima makluman rasmi Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, bahawa DUN Negeri Sembilan Ke-12 terbubar secara automatik. 

Surat perisytiharan pembubaran itu diserahkan Afizam kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di ibu pejabat SPR di sini.



http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SuratbubarDUNdiserah/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...