Jasin: Sepuluh perkara sedang dirancang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seperti didakwa seorang bekas pemimpin PKR, baru-baru ini, tidak mustahil berlaku. 

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Mohammad Fairus Khairuddin, berkata ini kerana, Ketua Pembangkang itu tertekan berikutan beberapa isu, termasuk penyebaran video seks didakwa membabitkan Penasihat PKR itu di internet, menjadikan Anwar ibarat harimau parah, sanggup melakukan apa saja. 
“Saya yakin dan tidak menolak kemungkinan 10 perkara itu menjelang PRU-13 kerana Anwar bertekad, mahu atau tidak, dia pasti berusaha mendapatkan kuasa untuk jadi Perdana Menteri. Sebenarnya, dia kini menghitung hari menamatkan karier politik. 


Mahu capai cita-cita 

“Usia mencecah 65 tahun sudah pasti tidak mengizinkannya untuk mencapai cita-cita politiknya pada PRU-14. Sebab itu, dia sanggup buat apa saja pada PRU-13 ini,” katanya kepada BH selepas menyampaikan ceramah isu ketika di Kampung Sempang, Serkam, di sini, semalam. 

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Datuk Zukifli Nordin, baru-baru ini, mendedahkan 10 taktik terbaru pembangkang untuk memburukkan kerajaan serta memenangi pilihan raya, termasuk menggunakan ahli keluarga Saiful Bukhari Azlan tampil menafikan perlakuan liwat membabitkan Anwar. 

Yakin BN kekal kuasa 
Dalam perkembangan lain di Alor Setar, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di depan lebih 500 hadirin sempena program Sepetang Bersama Tun M di Dewan Konvensyen Al-Bukhary International University (AIU), semalam yakin Barisan Nasional (BN) mampu terus mengekalkan penguasaan selepas PRU-13. 

“Memang saya akui sukar bagi parti seperti BN yang pernah kalah (di beberapa negeri pada PRU-12) untuk bangkit, namun saya yakin BN sudah buat yang terbaik untuk PRU kali ini walaupun tidak lagi sekuat dulu. Persoalannya, berapa banyak kerusi yang akan BN menang,” katanya. 

Dr Mahathir berkata, keputusan PRU-13 akan banyak bergantung kepada pertimbangan pengundi terutama kecenderungan membuat pilihan.