Kuala Lumpur: Pemimpin pembangkang cuba memperdaya rakyat apabila sentiasa menutup kesalahan mereka dengan menuduh kononnya ia konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN). 

Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong, berkata pembangkang juga bersikap angkuh enggan meminta maaf dan sering mengambil ringan kesilapan mereka walaupun ia memberi kesan besar. 
Beliau memberi contoh sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan kesilapan fakta disiarkan laman web kerajaan negeri mengenai perbezaan besar kos projek pembinaan terowong dasar laut dan lebuh raya utama di negeri itu, sekadar ‘silap taip’ serta perkara remeh. 


Selain itu, katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sewenang-wenang meminda manifesto bercetak pakatan yang sudah diumumkan apabila ditegur berkaitan isu tuntutan 20 peratus royalti minyak dan gas kepada negeri pengeluar. 

Hanya mahu kejar undi 

“Banyak bukti menunjukkan pemimpin pakatan pembangkang tidak cekap dan tidak profesional, hanya mahu mengejar undi. Guan Eng terlalu sombong hingga tidak memohon maaf walaupun dikritik, sedangkan kesilapan fakta mengenai kos projek (terowong) itu adalah perkara serius. 

“Saya juga ingin bertanya adakah Guan Eng buat kajian mendalam mengenai projek itu, termasuk dari segi kesan terhadap alam sekitar dan membentuk jawatankuasa khas? Sebaliknya, ia kelihatan dibuat secara tergesa-gesa tanpa analisis sewajarnya. 
“Rakyat boleh menilai bagaimana perkara sebegitu tidak pernah dilakukan Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri begitu teliti dan terperinci dalam membuat perancangan atau pelaksanaan untuk negara dan rakyat,” katanya kepada BH, semalam. 

Lum Yong turut mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang memilih bulu dalam pemberian baucar beli-belah kepada warga emas di negeri itu apabila mengetepikan penyokong BN, malah didakwa turut merancang menuding jari kepada BN dan UMNO dalam isu kesilapan kiraan undi calon Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti terbabit, Disember lalu.