Jumaat, 15 Mac 2013

Tepati janji bina PPR dalam tempoh 53 hari


Kota Bharu: Hanya 53 hari selepas mengumumkan tujuh janji termasuk membina rumah untuk rakyat Kelantan, Datuk Seri Najib Razak merasmikan pecah tanah pembinaan 1,000 unit rumah Program Rumah Rakyat (PPR) Kota Bharu.

Perdana Menteri berkata, projek PPR yang pertama di negeri ini membuktikan janji Kerajaan Pusat ditepati.
“Semua yang dilakukan ini bukan kerana hendak pancing undi semata-mata, namun semuanya dilakukan kerana tanggungjawab atau amanah yang harus digalas kerajaan. Kalau ini diperlukan rakyat, maka sebagai sebuah kerajaan, kita perlu tunaikan harapan rakyat.

“Kalau diberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), kita tidak janjikan bulan dan bintang, sebaliknya kita janji masa depan iaitu hari esok yang lebih baik kepada rakyat negeri ini berbanding hari ini.

Catat sejarah

“Saya tidak mahu sesiapa rasa sangsi serta ragu dengan janji yang dibuat itu, Insya-Allah, kita akan usaha tunaikan sepenuhnya. Hari ini kita catat sejarah baru, dalam tempoh 53 hari saja, sudah ditepati janji yang dibuat,” katanya ketika merasmikan PPR Kota Bharu, di sini, semalam.

Projek perumahan di Wakaf Mek Zainab, di sini, di kawasan kira-kira 2.236 hektar, yang menyediakan rumah tiga bilik siap menjelang 2015.
Pembinaan rumah untuk rakyat ini adalah antara tujuh janji yang diumumkan Najib ketika melancarkan Program Janji Ditepati, di Pusat Transformasi Luar Bandar, di Tunjung, di sini, pada 20 Januari lalu.

Najib berkata, keistimewaan projek perumahan itu ialah kerajaan memberikan subsidi lebih RM100,000 dengan pemilik hanya perlu membayar RM35,000 berbanding harga asal RM160,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...