Rabu, 13 Mac 2013

Penghormatan terakhir untuk 2 wira negara


 Dua anggota tentera yang terkorban dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah kelmarin dinaikkan pangkat kepada Koperal, membolehkan keluarga mereka menerima pencen terbitan kira-kira RM2,500 sebulan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata imbuhan untuk kedua-dua ibu bapa Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21, akan turut diberi menerusi beberapa faedah perkhidmatan. 

Keluarga terima faedah 

Katanya, keluarga kedua-dua perajurit juga akan menerima faedah lain secara kumulatif termasuk insurans berkelompok, koperasi dan tabung angkatan tentera kira-kira RM170,000. 


Wang tak boleh mengubati kesedihan kehilangan orang tersayang, tetapi bantuan ini tanda prihatin Kementerian Pertahanan, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia, katanya pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini semalam. 


Terdahulu Ahmad Zahid mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memasuki pesawat C-130 TUDM dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu. Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. 


Tentera pertama terkorban 

Allahyarham Ahmad Hurairah adalah anggota tentera pertama terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Februari lalu. 

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dalam pertempuran tiga jam yang berakhir jam 10.45 pagi kelmarin manakala seorang lagi perajurit cedera dan empat musuh terbunuh. 


Allahyarham Ahmad Farhan pula terbunuh dalam nahas jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih untuk menghantar makanan kepada anggota keselamatan dalam operasi itu. 


Ahmad Zahid mengingatkan rakyat tidak memperlekeh kemampuan pasukan keselamatan yang sedang berjuang menentang pengganas dari selatan Filipina dalam Operasi Daulat, sebaliknya perlu bersatu memberi sokongan. 


Sementara itu, Zulkifli menyifatkan pemergian wira negara dalam pertempuran di Lahad Datu adalah pengorbanan yang sangat besar kepada negara. 


Jika orang kata ini sandiwara nyawa dipertaruhkan, adakah itu satu sandiwara? Bagaimana jika itu berlaku kepada bapa, anak atau adik mereka? katanya. 


Sementara itu, jenazah dua anggota tentera, Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan selamat dikebumikan di tanah perkuburan di kampung masing-masing. 


Jenazah Allahyarham Ahmad Hurairah, 24, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, manakala Allahyarham Ahmad Farhan, 21, di Tanah Perkuburan Islam Pasir Hor, Kota Bharu, tengah hari semalam.


sumber : http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/Penghormatanterakhiruntuk2wiranegara/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...