Isnin, 29 April 2013

PRU13: Kota Bharu akan ditransformasikan jika BN berkuasa di Kelanta

PUTRAJAYA: Bandar Kota Bharu di Kelantan akan ditransformasikan menjadi ibu negeri yang selesa untuk didiami dan pusat perniagaan yang kondusif jika Barisan Nasional (BN) dapat menguasai semula negeri itu, kata calon BN bagi kerusi parlimen Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh. 

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, sejak Kelantan ditadbir kerajaan negeri pimpinan PAS, keadaan bandar itu lesu kerana kurang aktiviti pembangunan dan ekonomi yang menawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan lumayan kepada anak-anak Kelantan.
Atas sebab itu ramai penduduk Kota Bharu khususnya dan Kelantan amnya, berhijrah dan merantau ke negeri-negeri lain untuk mencari nafkah, katanya semasa berucap pada majlis Forum Perdana anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini malam tadi. 


Kira-kira 400 orang Kota Bharu yang bermastautin di sekitar Lembah Klang hadir pada majlis itu. 

Mohamad Fatmi berkata, beliau tidak bimbang dengan kelompok orang Kelantan yang merantau dan berjaya dalam kehidupan dan ramai di antara mereka memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan serta berjaya dalam dunia perniagaan. 

"Apa yang saya bimbang ialah golongan anak-anak Kelantan yang merantau, yang berpendapatan rendah dan mengalami kesukaran untuk hidup dengan selesa dan mencukupi di negeri-negeri orang, seperti mereka yang tinggal di Kuala Lumpur," jelas beliau. 

Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan selama ini telah gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk Kelantan, apatah lagi hendak menjana ekonomi dan membawa pelaburan masuk ke negeri itu. 
Katanya, mereka yang hendak berniaga dan peniaga sedia ada di Kota Baharu khususnya, turut mengadu masalah seperti kekurangan ruang kedai untuk memulakan perniagaan dan jika ada ruang pun, ia amat sempit dan sewanya mahal. 

"Ada seorang peniaga Cina mengadu kepada saya, ruang kedai kecil yang dibelinya di Kota Baharu lebih kurang sama mahalnya dengan kedai yang terdapat di Pavilion, iaitu sebuah pusat beli-belah ternama di Kuala Lumpur, daripada segi nilai harga mengikut ukuran satu kaki persegi," kata Mohamad Fatmi. 

Katanya, jika BN berkuasa semula di Kelantan, pelbagai pelaburan baru dan besar akan dibawa masuk ke negeri itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta menarik anak-anak Kelantan yang merantau supaya pulang dan mendapat pekerjaan yang baik serta tinggal dengan selesa di negeri itu. - BERNAMA 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRU13_KotaBharuakanditransformasikanjikaBNberkuasadiKelantan/Article/

Isnin, 22 April 2013

Tubuh kerajaan kukuh, berwibawa

Shah Alam: Datuk Seri Najib Razak menegaskan pilihan raya umum (PRU) bukan mengenai individu tetapi untuk menubuhkan kerajaan kuat dan berwibawa bagi membawa kejayaan kepada negara. 

Justeru, Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan diambil mengikut perasaan dan tumpuan hanya diberikan kepada soal individu, maka ia sudah tersasar daripada objektif sebenar pilihan raya. 

Kita tekankan yang penting sekali ialah parti sebab pada kesudahannya, pengalaman menunjukkan individu tidak kuat. Nama-nama besar juga apabila bertanding bebas, mereka tidak mendapat kejayaan. 

Kita harus kembali kepada objektif pilihan raya, iaitu untuk menubuhkan kerajaan. 

Ia tidak lain tidak bukan untuk masa depan negara dan anak-anak kita yang terlalu bernilai, katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. 

Mengenai dakwaan bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, bahawa beliau tiada menerima tawaran parti untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan, Najib berkata: 
Tanyalah Menteri Besar (Perak), tanya Tan Sri Muhyiddin (Yassin), tanya (Datuk Seri) Tengku Adnan (Tengku Mansor)... kita memang tawarkan dia DUN Bukit Chandan (Perak) untuk bertanding sebagai ADUN, katanya. 

Tinjauan mesra 

Mengulas lawatan turun padang dalam program tinjauan mesra beliau di kawasan Parlimen Selayang, Gombak, Kota Raja dan Shah Alam, semalam, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor, berkata sambutan pengundi dan semangat jentera BN amat baik. 

Katanya, tumpuan kini kepada kerja menggerakkan jentera parti untuk mencapai kemenangan BN dan soal pencalonan tidak lagi berbangkit. 

Isu air 

Dalam konteks ini, beliau menegaskan, amat penting untuk kerajaan Selangor dan Pusat sama-sama di bawah Kerajaan BN untuk melicinkan pentadbiran. 

Ada banyak perkara membabitkan kuasa kerajaan negeri yang menyentuh kepentingan Kerajaan Pusat dan negara pada keseluruhannya. Antaranya, isu air. 

Sebab itu amat penting bagi pengundi di Selangor melihat bahawa negeri ini begitu strategik untuk kepentingan negara secara keseluruhan, katanya. 

Sementara itu, ditanya tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PAS, Najib menyifatkannya sebagai bukan isu kerana sudah dijangkakan.

bharian.com.my/bharian/articles/Tubuhkerajaankukuh_berwibawa/Article/index_html

Imam Madinah iktiraf BN

Imam Madinah iktiraf BN
Muhyiddin bersalaman dengan Imam Masjid Al-Nabawi Madinah, Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, semalam. - Foto Sairien Nafis

Kuala Lumpur: Imam Masjid Al-Nabawi di Madinah, Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair mengiktiraf usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di negara ini yang dilihat selari dengan tuntutan agama. 

Malah, beliau kagum dengan usaha kerajaan menerusi institusi agama yang mengimarahkan rumah ibadat, khususnya masjid demi mendekatkan umat Islam dengan amal salih. 
Pandangan itu disuarakannya kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama pegawai masjid dan surau, ahli jawatankuasa masjid, pendakwah dan pendidik Wilayah Persekutuan, di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, di sini semalam. 


Penghormatan kepada negara Muhyiddin berkata, kehadiran Al-Syeikh Solah pada majlis itu penghormatan kepada umat Islam negara ini, sekali gus menggambarkan keprihatinannya dan Kerajaan Arab Saudi terhadap usaha BN meningkatkan syiar Islam yang menjadi teras perpaduan ummah. 

Sambil menyatakan rasa bertuah dengan pertemuan itu, Muhyiddin berkata, sebagai parti politik terbesar orang Melayu dan umat Islam, UMNO menjadikan matlamat untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai prinsip perjuangan parti. 

Terus istiqamah 

Alhamdulillah dengan sikap pemimpin negara yang istiqamah mempertahankan kesucian Islam, walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan dugaan termasuk gerakan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan tuntutan kebebasan beragama, kedudukan Islam di negara kita terus terpelihara, katanya dalam ucapan di hadapan lebih 5,000 hadirin. 
Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukan Islam sebagai agama istimewa yang dianggap nikmat kepada umat Islam di negara ini tidak datang bergolek, sebaliknya hasil perjuangan pemimpin terdahulu. 

Sehubungan itu, pendakwah yang berperanan menerusi pelbagai institusi Islam tidak boleh leka kerana cabaran terhadap kedudukan Islam datang dalam pelbagai bentuk termasuk melalui penyelewengan akidah atau kecelaruan pemikiran, sekali gus meruntuhkan akhlak umat Islam. 

Institusi pendakwah 

Kerajaan menyediakan pelbagai institusi bagi membantu pendakwah melaksanakan dakwah dengan lebih sempurna, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam negeri dan Yayasan Dakwah Islam yang bukan saja membiayai, malah menyediakan pelbagai bentuk sokongan. 

Bagi menegakkan dan menyebarkan syiar Islam, kerajaan membangunkan institusi pendidikan Islam, bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) negeri, mengambil guru agama berkhidmat dalam kerajaan dan latihan secukupnya dalam pendidikan Islam, katanya. 

Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri menyerahkan sumbangan sagu hati Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebanyak RM377,500 kepada 755 imam, bilal, noja dan pendakwah di Wilayah Persekutuan. 

.bharian.com.my/bharian/articles/ImamMadinahiktirafBN/Article/

Ahad, 21 April 2013

PRU13: Peluang menang cerah kerana kami anak tempatan - Calon BN Kepala Batas

PRU13: Peluang menang cerah kerana kami anak tempatan - Calon BN Kepala Batas
BEKAS Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kanan) mengiringi calon Barisan Nasional (BN) dari kanan; Datuk Roslan Saidin (DUN Pinang Tunggal), Shariful Azhar Othaman (DUN Bertam), Mohd Zain Ahmad (DUN Penaga) dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Parlimen Kepala Batas) menuju ke pusat penamaan calon di Kepala Batas, semalam. - Foto Nur Izzati Mohamad

KEPALA BATAS: Peluang calon Barisan Nasional (BN), terutama tiga muka baru yang bertanding di kawasan Kepala Batas untuk pertahankan empat kerusi BN di situ adalah cerah kerana semuanya anak tempatan.

Calon bagi kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata mereka bukan saja sudah lama berdamping dengan masyarakat setempat tetapi juga mengetahui kehendak penduduk. 
"Empat calon daripada parti pembangkang bukan orang tempatan dan mereka datang bertanding di sini hanya dengan matlamat mahu ke Putrajaya, bukan untuk membantu penduduk di sini. 


"Situasi itu berbeza dengan calon-calon BN... bukan hari ini saja kami baru turun padang sebaliknya memang mendampingi penduduk di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinang Tunggal, di sini hari ini.

Reezal Merican adalah muka baru menggantikan penyandang Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Perdana Menteri. Dua lagi muka baru ialah calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Shariful Azhar Othman dan DUN Penaga, Mohd Zain Ahmad. DUN Pinang Tunggal dipertahankan Datuk Roslan Saidin.

PAS meletakkan Afnan Hamimi Taib Azamuddin dan Rosidi Hussain masing-masing bagi kerusi Parlimen Kepala Batas dan DUN Penaga, manakala PKR mempertaruhkan Syed Mikael Rizal Aidid bagi DUN Bertam dan Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Pinang Tunggal.

Reezal Merican berkata, kesemua calon BN juga menetap di kawasan berkenaan. 
"Wakil pembangkang tidak tinggal di sini dan ia berbeza dengan cara kita seperti yang telah diterapkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk sentiasa mendampingi rakyat bagi membantu mereka dan bukan hanya mengejar jawatan semata-mata," katanya.
-- BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRU13_Peluangmenangcerahkeranakamianaktempatan-CalonBNKepalaBatas/Article/index_html

Pakatan ranap

Pekan: Pakatan parti pembangkang sudah ranap sejak hari penamaan kelmarin kerana berbalah dalam menentukan calon masing-masing, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menolak pembangkang kerana jika diberi peluang memerintah, mereka akan meranapkan masa depan negara. 
“Nama sahaja pakatan rakyat, tetapi tidak boleh berpakat. Pakatan rakyat di mana pakatannya sudah ranap. Ini belum lagi nak mengendalikan sebuah kerajaan. 


Tidak sepakat 

“Dalam pembangkang, waktu pilihan raya hakikatnya mereka tidak boleh berpakat... kalau tidak ada sesuatu gabungan yang bersatu dan suara yang satu, matlamat yang satu dan falsafah yang satu, maknanya ranap negara kita kalau kita beri kepercayaan kepada mereka. 

“Sebaliknya, (rakyat) teruslah beri kepercayaan kepada BN... lebih-lebih lagi puak sana (pembangkang) sudah tak boleh pakai lagi sebab bila malam hari penamaan calon dah berbalah sama dia kerana ada kawasan PAS letak calon dan PKR pun letak calon,” katanya ketika merasmikan Projek Sentuhan Kasih FELDA Chini Timur 2 dan Kompleks Perumahan Kakitangan FELDA, di sini, semalam. 

Najib juga berkata, rakyat tidak boleh memberi kepercayaan kepada pakatan seumpama itu untuk mengurus tadbir negara yang sedang mengalami perubahan besar menerusi dasar transformasi oleh BN. 
Katanya, rakyat hendaklah terus memberi kepercayaan kepada BN yang turut melaksanakan perubahan membawa masa depan negara dan taraf hidup rakyat yang lebih cemerlang pada masa akan datang. 

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu sedar bahawa pakatan pembangkang sehingga kini tidak melakukan sesuatu untuk meyakinkan rakyat. 

“Adakah mereka ini boleh dipercayai untuk membawa negara kita kepada keadaan lebih baik. Percayalah jika mereka kata nak ubah kepada perubahan... BN pun nak ubah kepada perubahan tapi yang bezanya kita berubah daripada dalam,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pakatanranap/Article/index_html

BN jamin tunai janji transformasi FELDA

Pekan: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan menunaikan janji transformasi di gugusan FELDA dalam tempoh lima tahun akan datang itu terus mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia termasuk dalam inti pati transformasi FELDA untuk tempoh 50 tahun akan datang, bermula sejak sambutan ulang tahun ke-50 pada 2006. 
“Kita dapat saksikan satu demi satu perubahan diterjemah di gugusan dan rancangan FELDA hingga ke hari ini dengan landskap baru. 


Transformasi lebih besar 

“Kita akan lakukan transformasi lebih besar. Beri lima tahun lagi dan akan lebih banyak kejayaan kita lakukan,” katanya ketika merasmikan Kompleks Industri dan Rekreasi FELDA (KIRF) di Chini 2 di sini, semalam. 

Sebagai satu daripada Projek Janji Ditepati BN, kompleks yang dibangunkan itu menjadi pemacu utama rantaian nilai industri komersial FELDA yang mengandungi lima komponen perniagaan, iaitu pusat tenun, makanan, industri ringan, gelanggang sukan dan kafeteria. 

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengurus Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad dan calon BN Dewan Undangan Negeri Chini, Datuk Abu Bakar Harun. 
Najib berkata, selain pembangunan, FELDA akan terus menghantar anak peneroka ke luar negara dan terkini 130 lagi penuntut Universiti Limkokwing akan ke London, selain pemain bola sepak FELDA United yang akan berlatih di Cardiff City selama sebulan. 

Selain itu, BN yakin dapat meningkatkan taraf hidup penduduk Kelantan jika pengurusan Ladang Rakyat di negeri pembangkang itu diserahkan kepada FELDA. 

BN ubah nasib rakyat Beliau berkata, hanya BN mampu mengubah nasib rakyat seperti dilakukan kepada peneroka gugusan FELDA. 

“Lihat saja Ladang Rakyat di Kelantan, haru-biru jadinya. 

Ada yang tanya jika ladang berkenaan boleh diserahkan kepada FELDA dan saya kata boleh tapi serah Kelantan kepada BN dulu,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, bukan semua kerajaan sama seperti di Afrika yang cuba merangka pengurusan seperti FELDA tetapi gagal. 

Setiap kali cuba nak buat macam FELDA mereka (Afrika) gagal, semuanya kerana kepemimpinan tidak seperti Kerajaan BN dan pengurusan FELDA,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BNjamintunaijanjitransformasiFELDA/Article

BN sedia tangkis dakyah

Lahad Datu: Empat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Silam serta DUN Tungku, Lahad Datu dan Kunak bersedia untuk menangkis dakyah pembangkang berhubung isu pencerobohan pengganas bagi mengelirukan pengundi. 
Isu berkenaan dijangka dipergunakan sepenuhnya oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan bagi meraih undi penduduk di situ sepanjang kempen PRU-13. 


Calon BN Parlimen Silam, Datuk Datu Nasron Datu Mansur, berkata taktik pembangkang memburuk-burukkan kerajaan BN adalah perkara biasa, namun beliau bersedia memberi penjelasan kepada pengundi yang majoritinya masih marah apabila ada pemimpin pembangkang mendakwa insiden itu sebagai sandiwara kerajaan.

"Tiada yang lebih mengecewakan rakyat di sini apabila ada segelintir pemimpin pembangkang memperlekehkan insiden itu sebagai sandiwara kerajaan.

"Ini menunjukkan mereka tidak peka dan tiada semangat patriotik, rakyat seharusnya menolak kepemimpinan seperti itu," katanya yang bertekad membantu memulihkan kehidupan penduduk kampung yang terjejas akibat pencerobohan bagi membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa jika diberi mandat.

Calon BN DUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, yakin rakyat kini sudah bijak untuk menilai sama ada tuduhan sandiwara itu benar atau sebaliknya. 
"Apa yang lebih utama ialah menyegerakan bantuan penuh kepada penduduk kampung yang kehilangan punca pendapatan dan harta benda akibat insiden terbabit.

"Jika diberi kepercayaan dan menang pada pilihan raya ini, fokus saya adalah membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk di situ di samping menyediakan keperluan asas sewajarnya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, sebelum ini menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak apabila mendakwa insiden serangan pengganas itu sandiwara UMNO.

Calon BN DUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dan DUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, masing-masing sepakat dan bersedia menjelaskan kepada rakyat berhubung isu pencerobohan itu yang kuat dimanipulasikan pihak pembangkang untuk memburukkan kerajaan.


www.bharian.com.my/bharian/articles/BNsediatangkisdakyah/Article/index_html

Sabtu, 20 April 2013

BN pecat ahli khianati parti

Surat pemecatan calon tanding Bebas dikeluarkan esok: Najib

Pekan: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) lebih rela memecat mereka yang mengkhianati parti dengan bertanding sebagai calon Bebas daripada terpaksa mengorbankan parti. 
“Keputusan memecat mereka bukan salah kita dan yang penting kita kena jaga parti. Jika ada satu atau dua yang terpaksa kita korbankan, ia lebih baik daripada kita korbankan parti yang dikasihi. 

Ini ketetapan parti yang mana sesiapa yang bertanding Bebas tidak boleh kekal sebagai ahli kerana disiplin parti lebih penting daripada cita-cita peribadi” Najib Razak, Presiden UMNO

Ketetapan parti

“Ini ketetapan parti yang mana sesiapa yang bertanding Bebas tidak boleh kekal sebagai ahli kerana disiplin parti lebih penting daripada cita-cita peribadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Calon BN Parlimen Pekan serta jentera parti, di pekarangan kediamannya, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, surat pemecatan ahli BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan dikeluarkan esok.

Beliau menegaskan tindakan itu diambil kerana mereka tidak mematuhi disiplin parti dengan mengutamakan kepentingan peribadi. 
Beliau merujuk kepada tindakan tiga pemimpin kanan parti bertanding calon Bebas, termasuk Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar dan penyandang kerusi Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

Keahlian Kamilia gugur serta-merta

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, keahlian Kamilia gugur serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas untuk Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau yang dukacita dengan tindakan Kamalia itu, berkata ia tidak sepatutnya dilakukan seorang ahli kanan dalam parti.

Beliau berkata, keputusan itu amat mengecewakan, apatah lagi Kamilia memegang jawatan kedua tertinggi dalam Wanita UMNO, yang seharusnya menjadi contoh kepada ahli lain.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BNpecatahlikhianatiparti/Article/index_html

Jumlah calon bertanding catat sejarah

Pertama kali tiada menang tanpa bertanding

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menampilkan 1,900 calon, mencatatkan sejarah sebagai pilihan raya paling ramai calon bertanding sejak PRU pertama pada 1959 dan antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik negara. 
PRU-13 juga mencatatkan sejarah calon bebas paling ramai, iaitu 190 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 78 kerusi Parlimen. 


Ia juga pertama kali tiada calon menang tanpa bertanding, selain lebih 250 kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

Pada PRU 2008, lapan kerusi Parlimen dan empat DUN menyaksikan calon menang tanpa bertanding, 17 Parlimen dan 12 DUN pada 2004, masing-masing satu pada 1999 dan 11 Parlimen serta sembilan DUN pada 1995. 

Rekod paling banyak calon menang tanpa bertanding ialah pada 1974 apabila masing-masing 47 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN dimenangi tanpa calonnya perlu berkempen.

Selain itu, 182 daripada 505 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga hingga tujuh penjuru dan 90 daripada 222 kerusi Parlimen berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru. 
Namun, sebanyak 323 kerusi DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan 132 di kerusi Parlimen.

Ramai calon Bebas

Kemunculan ramai calon Bebas bertanding kali ini berpunca daripada rasa tidak puas hati ahli kerana tidak terpilih sebagai calon dan kecewa akibat tidak bersetuju dengan calon yang dipilih oleh kepemimpinan parti.

Ia menyebabkan berlaku beberapa kejutan apabila kebanyakan parti terpaksa bersaing dengan ahli belot yang bertanding sebagai calon Bebas, termasuk calon Barisan Nasional (BN). 

Antara yang paling diperkatakan ialah tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding di Parlimen Kuala Kangsar dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shariff Omar di Parlimen Tasek Gelugor dan DUN Sungai Dua, di Pulau Pinang.

BN terpaksa bersaing dengan 25 calon Bebas yang daripada ahlinya sendiri, PKR tujuh calon, DAP lima calon dan PAS empat calon.

Selain itu, kegagalan PKR-PAS-DAP berkompromi untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN, menyebabkan pertindihan di tujuh kerusi antara PAS dan PKR.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jumlahcalonbertandingcatatsejarah/Article/index_html

Yakin rampas semula Kedah

Jitra: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang pada PRU-13 ini.

Katanya, ia berdasarkan sokongan dan sambutan rakyat terhadap program BN yang diadakan di negeri ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan BN Kedah. 
Penyokong bersemangat 


“Hari ini pun ramai penyokong datang, cukup bersemangat macam BN suatu ketika dulu. Kita nampak BN ada peluang cerah untuk menawan semula Kedah,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, semalam.

Dr Mahathir dan isteri, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohamed Ali mengiringi anak mereka, Datuk Mukhriz yang bertanding sebagai calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Parlimen Jerlun.

Beliau juga yakin pengundi di DUN itu akan memberikan peluang kepada Mukhriz di kerusi berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menasihatkan penyokong BN menyokong sesiapa saja yang diturunkan untuk mewakili parti berkenaan tanpa melihat dari aspek individu. 
“Mereka yang tidak dicalon kali ini juga diminta tidak melakukan sesuatu yang tidak disukai orang lain, sebaliknya harus membantu memenangkan calon yang dipilih parti,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/YakinrampassemulaKedah/Article/index_html

Adik tak dengar cakap abang:Pairin

Adik tak  dengar cakap abang:Pairin

Banyak kali nasihat Jeffrey tak tanding di Parlimen Keningau

Keningau: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyifatkan Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai 'adik yang tidak mendengar cakap abang'. 

Pairin berkata, beliau banyak kali menasihatkan adiknya supaya tidak bertanding di kerusi Parlimen Keningau yang disandangnya, namun Jeffrey yang pernah kalah di kawasan sama pada 2008 masih mahu bertanding. 


Minta tak bertanding

“Sebelum ini saya sudah meminta beliau tidak lawan saya, tetapi atas dasar demokrasi sesiapa pun boleh bertanding, maka terpulang kepada rakyat untuk menilai, kita tunggu sajalah keputusan,” katanya selepas pengumuman calon di Dewan Masyarakat Keningau dekat sini, semalam.

Selain dua beradik itu, turut bertanding di Parlimen Keningau ialah calon PKR Stephen Sandor. Pairin dan Jeffrey turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing di Tambunan dan Bingkor.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pairin memenangi kerusi Parlimen Keningau dengan majoriti 4,264 undi menewaskan Jeffery dan calon DAP Peter Kodou @ Peter Anthony Kodou dalam pertandingan tiga penjuru. 
Cuba nasib bertanding

Jeffrey berkata, beliau mencuba nasib bertanding sekali lagi di Parlimen Keningau atas dasar demokrasi dan menyifatkan pertembungan dengan abangnya itu tiada kaitan langsung dengan soal keluarga.


http://www.blogger.com/blogger.g?blogID=6381424246343887087#editor/target=post;postID=1767789629908145073

Khamis, 18 April 2013

Mahasiswa Sokong Penuh Barisan Kerajaan BN

Golongan Mahasiswa Sabah menyokong Penuh barisan kerajaan yang diketuai oleh PM kita. Hal ini kerana, kerajaan selama ini telah banyak membantu Mahasiswa bagi meringankan kos bebanan perbelanjaan. Pemberian Baucer buku misalnya dan kad diskaun pelajar.

Bertembung sesama sendiri

Pembangkang di Sabah tak sepakat, berebut kerusi DUN, Parlimen

Kota Kinabalu: Sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen dan 60 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal menyaksikan sekurang-kurangnya saingan empat penjuru selepas semua parti, termasuk dua parti pembangkang tempatan, mengumumkan calon masing-masing. 

Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah, yang bekerjasama dengan USNO Baru mengumumkan bertanding di 20 kerusi Parlimen dan 55 DUN, manakala Parti Maju Sabah (SAPP) mengesahkan meletakkan calon di lapan kerusi Parlimen serta 41 DUN. 
Bertembung dengan BN 


Kedua-dua parti pembangkang tempatan itu akan bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang merangkumi PKR, DAP serta PAS, yang meletakkan calon di semua kerusi di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Bagi STAR dan SAPP, kedua-dua parti dijangka bertembung di sekurang-kurangnya empat kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN, manakala pertembungan antara SAPP serta USNO Baru dijangka berlaku di satu kerusi Parlimen dan empat DUN. 

PKR yang turut menyenaraikan calon daripada Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) akan bertanding di 19 kerusi Parlimen serta 43 DUN, manakala PAS di satu kerusi Parlimen dan lapan DUN selain DAP bakal merebut lima kerusi Parlimen serta sembilan DUN. 

Pengerusi STAR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mengakui tidak dapat mengelak pertembungan sesama parti pembangkang, termasuk dengan SAPP berikutan tiada persefahaman. 
“Saya dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee ada berbincang beberapa kali untuk mengelak pertembungan calon pada PRU-13 tetapi tiada persetujuan dicapai. Kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil kira aspek itu apabila meletak calon. 

“Dengan pakatan pembangkang diketuai PKR, saya tidak pernah berbincang mengenai penyelarasan kerusi,” katanya selepas melancarkan manifesto parti itu, di sini, semalam. 

Sementara itu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata parti itu memutuskan tidak bekerjasama dengan pakatan pembangkang selepas PKR, DAP, PAS, PPPS dan APS bertelagah sesama sendiri dalam pengagihan kerusi dan penentuan calon. 

Tidak ikhlas 

“Mereka tidak ikhlas dan tidak perlu meletak calon di negeri ini,” katanya pada majlis memperkenalkan 38 daripada 41 calon SAPP, di sini, malam kelmarin. 

Terdahulu, Teck Lee, yang juga bekas Ketua Menteri mengumumkan bertanding di DUN Likas menggantikan penyandangnya, Datuk Liew Teck Chan, manakala timbalannya, Datuk Eric Majimbun beralih ke DUN Inanam dari Parlimen Sepanggar, yang disandangnya. 

Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Datuk Lajim Ukin, menyifatkan pertembungan antara pakatan pembangkang dengan SAPP dan STAR adalah lumrah dalam pilihan raya. 

“Itu belum termasuk calon Bebas, tetapi ia tidak menghairankan. Terpulang kepada rakyat membuat penilaian siapa yang mereka suka,” katanya.

.bharian.com.my/bharian/articles/Bertembungsesamasendiri/Article

BN terus bela nasib 831,860 ibu tunggal

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) membela nasib 831,860 ibu tunggal seluruh negara dengan menganugerahkan mereka Kad Diskaun Pengguna bagi meringankan beban sara hidup. 

Kad itu membolehkan mereka membeli barangan pada harga lima hingga 50 peratus lebih rendah di kedai terpilih di seluruh negara bertujuan membantu mereka membiayai perbelanjaan harian. 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan BN juga sedia menimbangkan cadangan menyediakan skim insurans berkelompok bagi memastikan ibu tunggal dilindungi insurans untuk kematian akibat kemalangan bernilai RM10,000 manakala khairat kematian (RM1,000) dan kecacatan kekal akibat kemalangan (RM10,000). 


Khidmat guaman percuma

Beliau turut mengumumkan khidmat guaman percuma kepada ibu tunggal bagi kes perceraian dan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah melalui perkhidmatan Yayasan Majlis Bantuan Guaman Malaysia.

Katanya, langkah itu membuktikan Kerajaan BN amat prihatin terhadap nasib ibu tunggal seluruh negara yang diyakini tetap setia menyokong BN meskipun cuba dipengaruhi pembangkang melalui pelbagai dakyah. 

“Kita perlu lakukan apa yang termampu supaya ibu tunggal tidak terpinggir dalam arus transformasi negara. Saya percaya ibu tunggal tidak mahu semata-mata belas kasihan,” katanya. 
Najib berucap melancarkan Jaringan Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA) yang dihadiri kira-kira 13,000 ibu tunggal di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Datuk Melati Ali.

JUWITA berfungsi sebagai sekretariat atau payung bagi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hal ehwal ibu tunggal bagi membantu memelihara kebajikan mereka.

Bantuan di bawah AIM

Najib berkata, usaha membantu ibu tunggal sudah digerakkan dari peringkat daerah hingga negara, termasuk menyediakan bantuan perniagaan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Dengan mengambil contoh seorang ibu tunggal yang memulakan perniagaan menjual ayam di depan rumah melalui pinjaman mikro kredit AIM, Najib berkata, sekarang wanita terbabit sudah mampu memiliki beberapa kereta mewah dan rumah besar.

Bagi memastikan ibu tunggal terus dibantu, katanya, mereka harus membantu kemenangan BN pada hari mengundi 5 Mei ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan aplikasi telefon pintar Sohonista, iaitu sekretariat penggerak usahawan wanita melalui dalam talian.

Sementara itu, Shahrizat menyampaikan penghargaan kepada Najib kerana setuju meluluskan pemberian kad diskaun 1Malaysia, serta mempertimbangkan penawaran skim insurans bagi ibu tunggal yang berdaftar dengan JUWITA.
http://o.bharian.com.my/bharian/articles/BNterusbelanasib831_860ibutunggal/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...