Ahad, 7 April 2013

Manifesto BN lebih munasabah

Kerajaan komited tingkat kualiti hidup rakyat tanpa mengira kaum

Kuala Lumpur: Manifesto Barisan Nasional (BN) mencakupi 17 aku janji kepada rakyat adalah kesinambungan kepada proses transformasi negara yang sudah dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepanjang empat tahun mentadbir negara.

Malah, ia disifatkan sebagai manifesto yang komprehensif dengan memberi keutamaan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat untuk semua peringkat tanpa mengira kaum, termasuk memberi perhatian kepada penduduk luar bandar seperti di Sarawak dan Sabah. 

Usaha yang berterusan

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Shazali Abu Mansor, berkata janji dalam manifesto BN itu sebenarnya adalah usaha berterusan yang sentiasa dilakukan sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.

Beliau berkata, usaha mengurangkan harga kereta adalah sebahagian langkah menyemak semula Dasar Automotif Nasional (DAN) dalam usaha mengurangkan beban membayar hutang pembelian kereta yang dianggap antara beban kewangan utama yang ditanggung rakyat.

“Kedua-dua pihak menjanjikan penurunan harga kereta iaitu suatu usaha yang baik untuk rakyat. Namun, persoalan paling penting ialah sama ada janji itu dapat ditunaikan serta kesannya secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Antara aku janji dalam Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus secara berperingkat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pakatan pembangkang dalam manifestonya turut menjanjikan perkara sama, tetapi ‘janji’ mereka lebih manis, menurunkan harga kereta sehingga serendah RM25,000 selain menghapuskan cukai eksais kereta secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Komitmen BN dilihat lebih munasabah berbanding janji pakatan pembangkang yang belum menjelaskan secara khusus bagaimana mahu melaksanakan prosedur penurunan harga kereta yang dijanjikan.

Kemampuan BN

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata apa yang ditawarkan dalam manifesto itu adalah berdasarkan kepada kemampuan BN dalam mentadbir urus negara.

“Ia ditambah baik untuk kepentingan rakyat. Misalnya penurunan harga kereta, ia dilakukan secara berperingkat dan bukannya secara drastik seperti ditawarkan pakatan pembangkang. BN mengambil kira pelbagai aspek, sebelum membuat sebarang keputusan, bukannya tawaran bersifat populis,” katanya.

Malah katanya, dakwaan bahawa manifesto BN diciplak daripada manifesto pakatan pembangkang adalah tidak berasas kerana apa yang ditawarkan parti itu bersifat realistik dan mampu ditunaikan berdasarkan pengalaman tadbir urus negara.

Bagi Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein, tidak timbul soal menciplak idea sesiapa seperti dibangkitkan pakatan pembangkang kerana setiap parti politik akan saling mempengaruhi bagi memenangi undi rakyat.

“Bagi saya tidak timbul soal ciplak, parti mana-mana pun pada masa ini akan saling mempengaruhi sokongan rakyat. Cuma bezanya, manifesto BN ini adalah aku janji yang boleh ditunaikan dan berpaksikan kepada realiti negara.

BR1M cecah RM1,200

“Misalnya, pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan dinaikkan secara berperingkat sehingga mencecah RM1,200, mampu dilaksanakan kerana hasil pendapatan negara kita sentiasa meningkat setiap tahun. Berbeza dengan pihak pembangkang apabila menguasai beberapa negeri, apa yang dijanjikan kepada rakyat sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan dan sekarang mereka mengadakan manifesto baru pula,” katanya.

Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin, berkata langkah untuk memperkenalkan kementerian baru dapat memberi tumpuan penuh kepada masalah yang sedang berlaku dalam bandar.

“Sebelum ini, setiap masalah yang berlaku diaju dan diselesaikan oleh Datuk Bandar tanpa di koordinasi oleh Pusat. Apabila satu kementerian baru wujud dan fokusnya kepada bandar, maka segala masalah yang berlaku dalam setiap bandar di negara ini akan dikumpul dan diselesaikan secara selaras dan seragam.” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ManifestoBNlebihmunasabah/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...