Khamis, 18 April 2013

Bertembung sesama sendiri

Pembangkang di Sabah tak sepakat, berebut kerusi DUN, Parlimen

Kota Kinabalu: Sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen dan 60 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal menyaksikan sekurang-kurangnya saingan empat penjuru selepas semua parti, termasuk dua parti pembangkang tempatan, mengumumkan calon masing-masing. 

Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah, yang bekerjasama dengan USNO Baru mengumumkan bertanding di 20 kerusi Parlimen dan 55 DUN, manakala Parti Maju Sabah (SAPP) mengesahkan meletakkan calon di lapan kerusi Parlimen serta 41 DUN. 
Bertembung dengan BN 


Kedua-dua parti pembangkang tempatan itu akan bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang merangkumi PKR, DAP serta PAS, yang meletakkan calon di semua kerusi di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Bagi STAR dan SAPP, kedua-dua parti dijangka bertembung di sekurang-kurangnya empat kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN, manakala pertembungan antara SAPP serta USNO Baru dijangka berlaku di satu kerusi Parlimen dan empat DUN. 

PKR yang turut menyenaraikan calon daripada Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) akan bertanding di 19 kerusi Parlimen serta 43 DUN, manakala PAS di satu kerusi Parlimen dan lapan DUN selain DAP bakal merebut lima kerusi Parlimen serta sembilan DUN. 

Pengerusi STAR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mengakui tidak dapat mengelak pertembungan sesama parti pembangkang, termasuk dengan SAPP berikutan tiada persefahaman. 
“Saya dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee ada berbincang beberapa kali untuk mengelak pertembungan calon pada PRU-13 tetapi tiada persetujuan dicapai. Kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil kira aspek itu apabila meletak calon. 

“Dengan pakatan pembangkang diketuai PKR, saya tidak pernah berbincang mengenai penyelarasan kerusi,” katanya selepas melancarkan manifesto parti itu, di sini, semalam. 

Sementara itu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata parti itu memutuskan tidak bekerjasama dengan pakatan pembangkang selepas PKR, DAP, PAS, PPPS dan APS bertelagah sesama sendiri dalam pengagihan kerusi dan penentuan calon. 

Tidak ikhlas 

“Mereka tidak ikhlas dan tidak perlu meletak calon di negeri ini,” katanya pada majlis memperkenalkan 38 daripada 41 calon SAPP, di sini, malam kelmarin. 

Terdahulu, Teck Lee, yang juga bekas Ketua Menteri mengumumkan bertanding di DUN Likas menggantikan penyandangnya, Datuk Liew Teck Chan, manakala timbalannya, Datuk Eric Majimbun beralih ke DUN Inanam dari Parlimen Sepanggar, yang disandangnya. 

Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Datuk Lajim Ukin, menyifatkan pertembungan antara pakatan pembangkang dengan SAPP dan STAR adalah lumrah dalam pilihan raya. 

“Itu belum termasuk calon Bebas, tetapi ia tidak menghairankan. Terpulang kepada rakyat membuat penilaian siapa yang mereka suka,” katanya.

.bharian.com.my/bharian/articles/Bertembungsesamasendiri/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...