Isnin, 22 April 2013

Tubuh kerajaan kukuh, berwibawa

Shah Alam: Datuk Seri Najib Razak menegaskan pilihan raya umum (PRU) bukan mengenai individu tetapi untuk menubuhkan kerajaan kuat dan berwibawa bagi membawa kejayaan kepada negara. 

Justeru, Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan diambil mengikut perasaan dan tumpuan hanya diberikan kepada soal individu, maka ia sudah tersasar daripada objektif sebenar pilihan raya. 

Kita tekankan yang penting sekali ialah parti sebab pada kesudahannya, pengalaman menunjukkan individu tidak kuat. Nama-nama besar juga apabila bertanding bebas, mereka tidak mendapat kejayaan. 

Kita harus kembali kepada objektif pilihan raya, iaitu untuk menubuhkan kerajaan. 

Ia tidak lain tidak bukan untuk masa depan negara dan anak-anak kita yang terlalu bernilai, katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. 

Mengenai dakwaan bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, bahawa beliau tiada menerima tawaran parti untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan, Najib berkata: 
Tanyalah Menteri Besar (Perak), tanya Tan Sri Muhyiddin (Yassin), tanya (Datuk Seri) Tengku Adnan (Tengku Mansor)... kita memang tawarkan dia DUN Bukit Chandan (Perak) untuk bertanding sebagai ADUN, katanya. 

Tinjauan mesra 

Mengulas lawatan turun padang dalam program tinjauan mesra beliau di kawasan Parlimen Selayang, Gombak, Kota Raja dan Shah Alam, semalam, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor, berkata sambutan pengundi dan semangat jentera BN amat baik. 

Katanya, tumpuan kini kepada kerja menggerakkan jentera parti untuk mencapai kemenangan BN dan soal pencalonan tidak lagi berbangkit. 

Isu air 

Dalam konteks ini, beliau menegaskan, amat penting untuk kerajaan Selangor dan Pusat sama-sama di bawah Kerajaan BN untuk melicinkan pentadbiran. 

Ada banyak perkara membabitkan kuasa kerajaan negeri yang menyentuh kepentingan Kerajaan Pusat dan negara pada keseluruhannya. Antaranya, isu air. 

Sebab itu amat penting bagi pengundi di Selangor melihat bahawa negeri ini begitu strategik untuk kepentingan negara secara keseluruhan, katanya. 

Sementara itu, ditanya tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PAS, Najib menyifatkannya sebagai bukan isu kerana sudah dijangkakan.

bharian.com.my/bharian/articles/Tubuhkerajaankukuh_berwibawa/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...