Khamis, 18 April 2013

Semua calon BN berkelayakan

Banting: Integriti dan kelayakan akademik semua calon Barisan Nasional (BN) sudah dinilai sebelum nama mereka diumumkan bertanding dalam pilihan raya umum, 5 Mei depan. 

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar, berkata BN sudah pun menyiasat latar belakang setiap calon dan menilai kelayakan akademik mereka bagi memastikan kemampuan dan kepakaran setiap calon terbabit. 
Mampu beri komitmen 


“Setiap calon dikenal pasti ditentukan latar belakang mereka selain kita memastikan mereka mampu memberikan komitmen dalam membela nasib semua pengundi,” katanya ketika ditemui pada program peningkatan hasil pertanian anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Sijangkang, semalam. 

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategi DAP, Ong Kian Ming yang mempersoalkan kewibawaan calon BN kerana mendakwa, mereka memperoleh kelulusan akademik daripada universiti yang meragukan. 

Calon yang dimaksudkan ialah Datuk Teh Kim Poh yang bertanding di kerusi Pelabuhan Klang, Datuk A Kohilan Pillay (Puchong), Datuk Abdul Wahab Ibrahim (Taman Medan), Lee Ban Seng (Kajang) dan Datuk Ching Eu Boon (Pendamaran). 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata pihaknya sudah menjangkakan pembangkang akan menyerang isu peribadi calon. 
“Pembangkang (pakatan rakyat) ketandusan idea dalam usaha mereka mengalih tumpuan pengundi,” katanya. 

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, beliau menerima ijazah doktor falsafah kehormat daripada Universiti Antarabangsa Irish pada majlis di Universiti Oxford pada 29 September 2007. 

“Saya tidak pernah membeli ijazah. Saya dianugerahkan ijazah itu berdasarkan rekod cemerlang saya sebagai ADUN selain berjaya melakukan transformasi Taman Medan daripada kawasan hitam kepada kawasan bebas jenayah,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SemuacalonBNberkelayakan/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...