Selasa, 9 April 2013

Pembangkang terus bercakaran

Kuala Lumpur: Kemelut pertindihan dan perebutan kawasan masih membelenggu pakatan pembangkang dengan PKR, DAP dan PAS belum dapat memuktamadkan agihan kerusi sepenuhnya setakat petang semalam. 

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, mengesahkan parti itu bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berbanding 66 kerusi pada 2008. 
Agihan awal menyatakan PKR akan bertanding 96 kerusi untuk dikongsi bersama sekutu dari Sabah, manakala DAP mendapat 50 kerusi. 


Bagaimanapun, pendekatan pemimpin PAS, PKR dan DAP mengumumkan calon secara berperingkat menerusi siri jelajah ke seluruh negara kurang disenangi ahli, sekali gus mencetuskan pertikaian. 

Di Perlis, tindakan Pesuruhjaya PAS negeri, Hashim Jasin, mengumumkan bekas Pengurus Besar Pos Malaysia, Baharuddin Ahmad sebagai calon Parlimen Kangar mengecewakan PKR yang mahu meletakkan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, di situ. 

Berikutan itu, pilihan seterusnya ialah bagi PKR mengintai kerusi di Sarawak iaitu negeri asal Juanda jika tetap mahukan tokoh agama itu menjadi calon. 

Nasib Dr Juanda 
Bagaimanapun, peluang Dr Juanda tipis di sana kerana tidak mempunyai sokongan akar umbi, selain kedudukan PKR sebagai parti dari Semenanjung, katanya. 

Difahamkan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan dalam Parlimen Kangar turut menjadi rebutan apabila PKR enggan beralah kepada DAP yang berminat bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina itu. 

PAS dan PKR turut berkongsi minat bagi kerusi Wilayah Persekutuan Labuan tetapi Pesuruhjaya PAS Labuan, Mohamad Noor Mohamad, mengumumkan Ketua Penerangan PAS pulau itu, Hadnan Mohamad untuk bertanding, sekali gus meranapkan harapan PKR. 

Pada 3 April lalu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengumumkan parti itu akan meletakkan calon di Labuan, tetapi dibidas oleh Mohamad Noor yang mendakwa ia tidak mendapat persetujuan PAS, selain tiada perbincangan diadakan sebelum pengumuman. 

Kenyataan Azmin tidak mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara pakatan, khususnya pada peringkat Wilayah Persekutuan, katanya. 

Azmin turut menamakan Parlimen Bera dan Setiawangsa sebagai kerusi PKR bagi menggantikan kerusi Temerloh dan Kangar yang ditandingi PAS. 

Hasrat pembangkang mahukan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi di Sabah juga sukar selepas perancangan membabitkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Wilfred Bumburing dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diterajui Datuk Seri Lajim Ukin, dikatakan digugat Parti Maju Sabah (SAPP) diketuai Datuk Yong Teck Lee dan Parti Reformasi Sabah (STAR) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan. 

Semalam, Azmin mengakui pihaknya sejak minggu lalu membincangkan pengagihan kerusi dan berharap dapat dimuktamadkan segera. 

Katanya, ada satu lagi pusingan mesyuarat bersama pemimpin kanan PAS dan DAP hari ini, tetapi mendakwa agihan kerusi di Sabah dan Sarawak sudah selesai. 

Sekarang cuma tinggal kira-kira 10 kerusi saja. Sebagai contoh, DAP menyatakan hasrat bertanding di Perlis kerana sebelum ini mereka tidak bertanding di negeri itu, maka kita akan berbincang untuk mencari kerusi yang sesuai untuk DAP, katanya. 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pembangkangterusbercakaran/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...