Ahad, 21 April 2013

BN sedia tangkis dakyah

Lahad Datu: Empat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Silam serta DUN Tungku, Lahad Datu dan Kunak bersedia untuk menangkis dakyah pembangkang berhubung isu pencerobohan pengganas bagi mengelirukan pengundi. 
Isu berkenaan dijangka dipergunakan sepenuhnya oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan bagi meraih undi penduduk di situ sepanjang kempen PRU-13. 


Calon BN Parlimen Silam, Datuk Datu Nasron Datu Mansur, berkata taktik pembangkang memburuk-burukkan kerajaan BN adalah perkara biasa, namun beliau bersedia memberi penjelasan kepada pengundi yang majoritinya masih marah apabila ada pemimpin pembangkang mendakwa insiden itu sebagai sandiwara kerajaan.

"Tiada yang lebih mengecewakan rakyat di sini apabila ada segelintir pemimpin pembangkang memperlekehkan insiden itu sebagai sandiwara kerajaan.

"Ini menunjukkan mereka tidak peka dan tiada semangat patriotik, rakyat seharusnya menolak kepemimpinan seperti itu," katanya yang bertekad membantu memulihkan kehidupan penduduk kampung yang terjejas akibat pencerobohan bagi membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa jika diberi mandat.

Calon BN DUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, yakin rakyat kini sudah bijak untuk menilai sama ada tuduhan sandiwara itu benar atau sebaliknya. 
"Apa yang lebih utama ialah menyegerakan bantuan penuh kepada penduduk kampung yang kehilangan punca pendapatan dan harta benda akibat insiden terbabit.

"Jika diberi kepercayaan dan menang pada pilihan raya ini, fokus saya adalah membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk di situ di samping menyediakan keperluan asas sewajarnya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, sebelum ini menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak apabila mendakwa insiden serangan pengganas itu sandiwara UMNO.

Calon BN DUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dan DUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, masing-masing sepakat dan bersedia menjelaskan kepada rakyat berhubung isu pencerobohan itu yang kuat dimanipulasikan pihak pembangkang untuk memburukkan kerajaan.


www.bharian.com.my/bharian/articles/BNsediatangkisdakyah/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...