Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, sejak Kelantan ditadbir kerajaan negeri pimpinan PAS, keadaan bandar itu lesu kerana kurang aktiviti pembangunan dan ekonomi yang menawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan lumayan kepada anak-anak Kelantan.
Kira-kira 400 orang Kota Bharu yang bermastautin di sekitar Lembah Klang hadir pada majlis itu.
Mohamad Fatmi berkata, beliau tidak bimbang dengan kelompok orang Kelantan yang merantau dan berjaya dalam kehidupan dan ramai di antara mereka memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan serta berjaya dalam dunia perniagaan.
"Apa yang saya bimbang ialah golongan anak-anak Kelantan yang merantau, yang berpendapatan rendah dan mengalami kesukaran untuk hidup dengan selesa dan mencukupi di negeri-negeri orang, seperti mereka yang tinggal di Kuala Lumpur," jelas beliau.
Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan selama ini telah gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk Kelantan, apatah lagi hendak menjana ekonomi dan membawa pelaburan masuk ke negeri itu.
Katanya, mereka yang hendak berniaga dan peniaga sedia ada di Kota Baharu khususnya, turut mengadu masalah seperti kekurangan ruang kedai untuk memulakan perniagaan dan jika ada ruang pun, ia amat sempit dan sewanya mahal.
"Ada seorang peniaga Cina mengadu kepada saya, ruang kedai kecil yang dibelinya di Kota Baharu lebih kurang sama mahalnya dengan kedai yang terdapat di Pavilion, iaitu sebuah pusat beli-belah ternama di Kuala Lumpur, daripada segi nilai harga mengikut ukuran satu kaki persegi," kata Mohamad Fatmi.
Katanya, jika BN berkuasa semula di Kelantan, pelbagai pelaburan baru dan besar akan dibawa masuk ke negeri itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta menarik anak-anak Kelantan yang merantau supaya pulang dan mendapat pekerjaan yang baik serta tinggal dengan selesa di negeri itu. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRU13_KotaBharuakanditransformasikanjikaBNberkuasadiKelantan/Article/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan